#1 Khalifah-Khalifah Yang Benar
Khalifah-khalifah Yang Benar
"Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin (Khalifah-Khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bidaah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bidaah itu adalah sesat."
Hadis direkodkan oleh Abu Daud dan Tirmizi.
Inilah kisah Khulafa Ar Rasyidin Al Mahdiyin dengan cerita yang berbeza. Mereka adalah sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW yang dijanjikan syurga.
Abu Bakar as Siddiq, lelaki yang tidak pernah ragu membenarkan semua kata-kata Nabi. Diangkat menjadi khalifah selepas wafatnya junjungan agung. Dikenali sebagai peneguh kerajaan Islam dan berjasa sebagai penghapus nabi-nabi palsu.
Umar al Khattab, lelaki yang awalnya keras ke atas Islam, akhirnya menjadi lelaki pendinding agama yang benar. Beliau harum sebagai pengembang empayar Islam.
Uthman Affan, lelaki yang mengahwini dua puteri Nabi. Dikenali sebagai dermawan dan dikenang sebagai pengumpul al-Quran.
Ali bin Abi Talib, lelaki yang punyai pertalian darah dengan Nabi. Menjadi kanak-kanak pertama memeluk Islam. Dihormati kerana tinggi ilmunya dan dikenang sebagai pahlawan Islam yang tidak pernah gentar kepada musuh.
Mereka mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar. Mereka adalah, khalifah-khalifah yang benar.